«

»

Mar
18

Cara-cara menyayangi sekolah

Idea :

i.                    Tidak merosakkan harta benda sekolah

ii.                   Mematuhi peraturan-peraturan sekolah

iii.                  Menaikkan nama sekolah

Sekolah merupakan institusi yang amat sinonim dengan para pelajar.  Sekolah diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang akan menggalas tugas meneraju negara pada masa akan datang.  Mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini.  Hasrat ini dapat direalisasikan jika pelajar menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing.  Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh pelajar untuk menyayangi sekolah.

Seseorang pelajar membuktikan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan harta benda yang disediakan oleh pihak sekolah.  Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik.  Hal ini demikian kerana harta benda sekolah merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama oleh warga sekolah keseluruhannya.  Pelajar perlu difahamkan tentang keburukan melakukan vandalisme, iaitu merosakkan harta benda sekolah.  Kerajaan terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan untuk membaiki kerosakan tersebut.  Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa distruktur semula untuk membaik pulih kerosakan yang diakibatkan oleh sikap segelintir pelajar ini.  Senario ini sangat merugikan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk menyediakan kemudahan lain kepada pelajar agar mereka dapat belajar dengan sempurna.  Jadi jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda menyayangi sekolah.

Selain itu, mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu cara membuktikan rasa sayang akan sekolah.  Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah untuk mendidik pelajar supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sentiasa patuh pada peraturan walau di mana-mana sahaja mereka berada.  Namun begitu, segelintir pelajar menganggap mereka bebas untuk melakukan sesuatu dan berasa besar diri jika mampu mencabar kreadibiliti pihak sekolah menangani karenah disiplin mereka. Tanggapan sedemikian tidak tepat kerana peraturan yang digubal mampu membina jati diri yang kukuh.  Peraturan yang dirangka sebenarnya adalah untuk menyediakan satu situasi yang harmoni serta mengelakkan pelajar terlibat dengan salah laku disiplin kerana boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar  terlibat dalam kes gaduh, sudah tentu pelajar tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti digantung persekolahan.  Kes  tersebut secara tidak langsung telah menggelapkan masa depan dan maruah pelajar terbabit serta nama baik sekolah jika kes itu diketahui umum.  Oleh itu, pelajar perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, menaikkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga merupakan cara yang boleh ditunjukkan untuk menyayangi sekolah.  Selain bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, pelajar juga perlu menaikkan nama sekolah dengan menempa kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum.  Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti.  Sekolah-sekolah lain akan menjadikan kejayaan itu sebagai penanda aras untuk mereka mencipta kejayaan yang sama.  Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan penghargaan oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih.  Sebagai contoh, kejayaan Nik Nur Madihah yang telah menempa 21A telah mengharumkan nama sekolah yang masih menjadi sebutan sehingga kini.  Jika tidak mampu mengharumkan nama sekolah dalam bidang akademik, pelajar masih boleh menjadi contoh dengan melonjakkan diri dalam arena sukan seperti Pandalela Rinong yang menjadi kebanggaan warga sekolahnya.  Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menaikkan nama sekolah.

Kesimpulannya,  pelajar wajib menzahirkan rasa sayang akan sekolah mereka.  Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka belajar asas jatuh bangun dalam kehidupan dan membina masa depan.  Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi tanggungjawab utama pelajar.  Jangan jadi seperti kera mendapat bunga yang tidak tahu menghargai sesuatu yang bernilai.

Hasil : Cikgu Lina

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>