Oct
01

Negeri Sembilan 2012

  • Kesesuaian pemilihan judul sesebuah dapat dikaitkan dengan isi kandungan novel tersebut.  Buktikan pernyataan tersebut.
  • Latar memainkan peranan penting dalam sesebuah novel.  Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji,  huraikan 3 latar masyarakat.

Oct
01

YIK 2012

  • Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang memaparkan nilai bertanggungjawabdalam setiap novel.
  • Huraikan dua konflik yang dialami oleh watak utama dalam sebuah novel yang anda pelajari dan bagaimanakah konflik itu diatasinya?

Oct
01

Terengganu 2012

  • Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan dua nilai tanggungjawab dalam novel tersebut.
  • Jelaskan satu latar masyarakat yang terdapat dalam dua buah novel yang anda pelajari.

Oct
01

Wilayah Persekutuan Labuan 2012

  • Nyatakan tiga latar tempat dan kaitkan dengan peristiwa penting yang terdapat dalam novel yang anda kaji.
  • Berdasarkan dua buah novel yang telah anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang memaparkan nilai bertanggungjawab dalam setiap novel

Oct
01

Soalan Kedah 2012

  • Jelaskan peleraian cerita daripada sebuah novel yang anda pelajari.
  • Huraikan satu pengajaran bagi kedua-dua buah novel yang anda pelajari.

Oct
01

Soalan SBP

a)Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, pilih dua peristiwa yang menarik dan nyatakan sebab peristiwa itu berjaya menarik perhatian anda.

 

b)Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu latar masyarakat yang dipaparkan dalam setiap novel tersebut

Sep
26

Rumusan 2

Rumusan 2 – Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah yang telah diambil untuk mencegah pembalakan haram dan kepentingan mengekalkan kawasan hutan.  Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Satu demi satu pendedahan dibongkarkan media massa mengenai pembalakan haram bagi memenuhi kehendak pembangunan tanpa mempedulikan keselesaan habitat haiwan atau tumbesaran tumbuhan di sesuatu kawasan yang terlibat.  Berikutan itu, timbul beberapa persoalan, antaranya adakah kes pembalakan haram semakin serius dan sebagai perbandingan, berapakah bilangan kes pembalakan tanpa kebenaran di hutan simpan?  Selain itu, apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk mencegah pembalakan haram?

Risikan bersepadu yang dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berkala telah berjaya membongkarkan beberapa kes pembalakan haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.  Kes yang ditemui di Bukit Enggang, Bandar Sungai Long, Selangor misalnya ialah hasil daripada risikan yang dijalankan.  Pada tahun 2010 sahaja, lima tangkapan dengan hukuman penjara selama 10 bulan dikenakan dan tiga tangkapan lagi dikenakan hukuman penjara 11 bulan terhadap mereka yang didapati bersalah.

Kerajaan telah memperuntukkan RM150,000 hingga RM200,000 setahun menerusi Projek Malaysia Kesepuluh (RMK-10).  Pemantauan melalui udara menggunakan helikopter turut dijalankan sebagai langkah membanteras kegiatan ini.  Sistem Pengurusan Memilih (SMS) pula merupakan satu sistem pengurusan hutan yang diamalkan dalam kawasan hutan asli yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi menjamin pengeluaran hasil hutan, khususnya kayu balak secara mapan iaitu selepas mencapai tempoh matang antara 25 hingga 55 tahun.

Sistem ini membabitkan bancian bagi menentukan had tebangan pokok yang matang di dalam kawasan HKS yang dikenal pasti mengikut had keluasan tebangan tahunan yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara.  Jabatan Perhutanan juga menetapkan bahawa had tebangan ditentukan berdasarkan dua jenis utama kayu balak iaitu damar seperti spesies pokok cengal, meranti dan keruing serta bukan damar yang meliputi pokok merbau, kempas dan nyatuh.  Hal ini bertujuan memastikan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada hutan yang ditinggalkan selepas pembalakan terdiri daripada pokok jenis malar yang menjadi identiti hutan hujan negara ini.  Bancian terhadap anak-anak pokok yang tinggal akan dilaksanakan selepas pembalakan bagi menentukan rawatan sesuai untuk pertumbuhannya.

Oleh sebab pembalakan haram banyak mendatangkan kerugian kepada kehidupan kita dan ekosistem semula jadi, maka kita perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ini.  Kita tidak mahu generasi akan datang tidak dapat melihat dan menikmati keindahan flora dan fauna lantaran kesan-kesan  pembalakan haram.

 

Diubahsuai daripada Sejauh mana Kes Pembalakan Haram Diselesaikan Tanpa Persoalan

Oleh Wan Jalaini Razak, Berita Harian 10 Mei 2011

 

Berdasarkan petikan Soalan 2, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

 

         i.            Berikan maksud rangkai kata menjadi identiti?ii.            Nyatakan ciri-ciri Perkhidmatan Sistem Memilih.iii.            Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan aktiviti pembalakan haram terhadap alam sekitar?

2m

3m

4m

 

Sep
26

Rumusan 1

RUMUSAN 1 – Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca berlakunya tekanan mental dalam kalangan remaja dan langkah-langkah untuk mengatasinya.  Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada Januari 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Modul Kesihatan Mental di sekolah menengah untuk menangani masalah tekanan mental dalam kalangan pelajar.  Pelaksanaan Modul Kesihatan ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).  Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, KKM akan berbincang dengan KPM bagi mencari pendekatan terbaik supaya modul tersebut dapat diajarkan di sekolah.  Berdasarkan rekod KKM, bilangan pesakit mental yang menerima rawatan di hospital awam meningkat daripada 15.6 peratus kepada 400227 orang pada 2010 berbanding dengan tahun sebelumnya.  Kebanyakan pesakit mental terdiri daripada golongan tua, dewasa, dan remaja.

Kebanyakan remaja yang mengalami tekanan mental datang daripada keluarga yang bermasalah.  Remaja ini tidak diberi peluang dalam keluarga untuk meluahkan perasaan, pandangan, atau masalah mereka malah kebanyakan mereka hanya memendam rasa.  Sekiranya perasaan ini sudah tidak dapat dikawal, remaja tersebut akan cenderung untuk menunjukkan tingkah laku yang kurang menyenangkan lalu bertindak membuta tuli.  Ibu bapa yang terlalu menekankan akademik juga menyebabkan mereka mudah mengalami tekanan.  Selain itu, penderaan secara fizikal dan mental juga menjadi faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan.  Individu yang pernah dipukul atau diperkosa berkemungkinan besar akan mengalami tekanan.  Tidak mustahil juga jika dikatakan bahawa kesihatan emosi setiap insan amat berkait rapat dengan kesihatan mentalnya.  Seseorang yang hidup mewah tetapi kurang mendapat perhatian dan kasih sayang juga akan mengalami gejala ini.  Mereka ini akan hilang semangat untuk hidup.

Kematian seseorang yang disayangi dan penceraian ibu bapa merupakan antara contoh pengalaman yang boleh memberikan kesan buruk termasuklah tekanan mental kepada seseorang.  Pengalaman yang berupa tragedi ngeri yang pernah dialami oleh seseorang itu menyebabkan mereka sering mengalami gangguan emosi.  Hal ini dikatakan sedemikian kerana mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa orang yang disayanginya telah meninggal dunia.  Kesannya, mereka akan diselubungi kesedihan yang berpanjangan lalu membawa kepada tekanan mental dan sakit jiwa.  Terdapat juga segelintir remaja yang gagal mencapai keputusan akademik yang diharapkan juga akan menghadapi situasi yang sama.  Mereka akan mengambil keputusan untuk membunuh diri.  Kecenderungan untuk mengambil tindakan yang tidak matang ini disokong pula dengan faktor lain seperti sejarah keturunan keluarga.  Pakar sakit jiwa membuktikan bahawa tekanan mental boleh dikaitkan dengan keturunan.  Jika keluarga ibu atau bapa seseorang itu pernah mengalami tekanan mental yang teruk maka berkemungkinan anak-anak dan generasi seterusnya mudah mengalami tekanan mental.

Diubahsuai daripada ‘Menangani Masalah Mental’

Dewan Masyarakat, Mei 2011

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

         i.            Apakah maksud rangkai kata pendekatan terbaik ?

ii.            Apakah kesan yang dihadapi oleh remaja jika mereka tidak dapat meluahkan perasaan, pandangan dan masalah mereka kepada keluarga?

iii.            Pada pendapat anda, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa untuk menangani masalah tekanan anak-anak dalam pelajaran?

—————————————-
Pendahuluan / Pengenalan

Petikan membincangkan faktor / sebab berlakunya tekanan mental dalam kalangan remaja. [2M]

Isi Tersurat (punca)

1. berpunca daripada keluarga yang bermasalah [2M]
2. ibu bapa terlalu menekankan akademik [2M]
3. penderaan fizikal dan mental [2M]
4. tidak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada keluarga. [2M]
5. kematian orang yang disayangi [2M]
6. perceraian ibu bapa [2M]
7. gagal mencapai keputusan akademik yang diharapkan [2M]
8. sejarah keturunan keluarga [2M]

Isi Tersirat (langkah mengatasi)

1. beriadah / berhibur / berlibur [2M]
2. berbincang dengan rakan [2M]
3. sentiasa berfikiran positif [2M]
4. menyertai kegiatan kemasyarakatan [2M]
5. berdoa / mendekatkan diri kepada Tuhan [2M]
6. berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatri [2M]
7. mengambil ubat-ubatan khusus mengikut preskripsi yang ditetapkan oleh doktor [2M]

Kesimpulan

Kesimpulannya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menangani masalah tekanan mental ini agar generasi yang berwawasan dapat dibentuk. [2M]

Sep
24

Manfaat Unit Uniform

Semua pelajar sekolah di negara ini wajib melibatkan diri dalam pasukan badan beruniform di sekolah.  Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pelajar bergiat aktif dalam pasukan badan beruniform.  Tulis pendapat anda tentang pelbagai manfaat yang pelajar akan peroleh dengan melibatkan diri dalam kegiatan ini.

Remaja dilihat sebagai aset paling berharga kepada negara yang akan mengemudi pentadbiran pada masa hadapan.  Dalam usaha membentuk keperibadian remaja zaman ini, pihak sekolah diberi tanggungjawab berat untuk merealisasikan hasrat murni tersebut.  Justeru, pelbagai program dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan menjadikan sekolah sebagai medan untuk pelajar menimba segala bentuk ilmu dan pengalaman yang tidak terhad kepada sistem peperiksaan semata-mata.  Pelajar diwajibkan untuk menyertai badan beruniform dan digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam badan beruniform yang disertai.  Terdapat banyak manfaat yang diperoleh pelajar sama ada secara langsung atau tidak langsung.

 

Sep
23

Ayat Aktif — Ayat Pasif

Contoh :

Aktiviti sukan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosial.

Peranan yang penting dalam pembangunan sosial dimainkan oleh aktiviti sukan.  

Para atlet dapat memupuk hubungan kaum tanpa mengira perbezaan agama dan budaya.

Hubungan kaum tanpa mengira perbezaan agama dan budaya dapat dipupuk oleh para atlet.

Oleh itu, para pelajar perlu menggiatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang telah dirancang.

Oleh itu, diri para pelajar perlu digiatkan dalam pelbagai aktiviti yang telah dirancang.

Mereka akan menunjukkan semangat pertandingan yang sihat dan muhibah ketika bersukan.

Semangat pertandingan yang sihat dan muhibah ketika bersukan akan ditunjukkan oleh mereka.

Sama ada menang atau kalah secara tidak langsung akan dapat melahirkan rakyat yang berwibawa.

Sama ada menang atau kalah rakyat yang berwibawa dapat dilahirkan secara tidak langsung.

Ibu bapa perlu menyokong penglibatan anak-anak mereka dalam apa-apa juga aktiviti kokurikulum.

Penglibatan anak-anak dalam apa-apa jua aktiviti kokurikulum perlu disokong oleh ibu bapa.

 

LatihanAyatAktif

Older posts «

» Newer posts